Berita Utama

Bajet 2022: BERJASA tekankan peruntukan khas tangani krisis air

Cadangan Belanjawan Berwibawa 2022 babit lebih 30 anak muda

BANGI, 21 Rabiulawal 1443H, Khamis – Pastinya ramai ternanti-nanti pembentangan Bajet 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat esok.

Namun kerajaan perlu diingatkan bahawa Bajet 2022 tidak boleh lari daripada menyentuh aspek kebajikan rakyat dan ekonomi negara, apatah lagi dalam keadaan negara masih lagi bergelut dengan COVID-19.

Atas sebab itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengambil inisiatif untuk membentangkan dan mencadangkan belanjawan berwibawa bertemakan ‘Rakyat Dijaga, Watan Terpelihara’.

Dengan buku belanjawan yang dilancarkan semalam, BERJASA menampilkan tujuh teras utama merangkumi lebih 100 cadangan bagi kerajaan mengemudikan negara sepanjang 2022.

Inisiatif itu merupakan belanjawan alternatif untuk tahun kedua dilancarkan parti berkenaan, dengan tahun lepas mengambil kira aspek pemulihan akibat COVID-19 yang melanda dunia dan negara.

Ketua Majlis Tindakan Ekonomi BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, cadangan belanjawan tahun ini dihasilkan dengan penglibatan lebih 30 anak muda dari pelbagai latar belakang dalam Kongres Nasional 2021.

“Ini antara yang kami ‘highlight’ dalam cadangan, RM700 juta untuk tambah pembinaan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan kemahiran dengan syarat kemasukan akademik yang minimum untuk memberi peluang kepada anak-anak luar bandar mendapatkan sijil-sijil kemahiran.

“Peruntukan dana kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membasmi aktiviti rasuah di semua peringkat dan meningkatkan kualiti pentadbiran.

“Peruntukan khas berjumlah RM500 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan krisis air di negeri-negeri terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2022 adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ dan berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 dan M40.

Ia turut melibatkan sokongan kepada perniagaan bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan, selain bantuan berterusan kepada golongan rentan dan bukan rentan, Bajet 2022 juga adalah mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Ismail Sabri berkata, belanjawan itu juga akan menjana lebih banyak pekerjaan bagi menangani pengangguran dan memacu pemulihan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan ekonomi sebelum COVID-19 dengan norma baharu.

Katanya, Bajet 2022 dirangka secara berhati-hati dan komprehensif mengambil kira pandangan semua pihak termasuk parti pembangkang bagi memenuhi aspirasi mereka selaras dengan iltizam kebersamaan Keluarga Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button