Berita Utama

The New York Times tuduh demokrasi Malaysia pudar selepas Muhyiddin ambil alih pentadbiran

Dakwa wabak COVID-19 dijadikan dalih untuk kikis norma demokratik

BANGI, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Portal berita antarabangsa membuat tuduhan tidak berasas apabila mendakwa sistem demokrasi di Malaysia pudar susulan kerajaan lama kembali berkuasa.

Laporan ditulis Richard C Paddock terbitan The New York Times semalam berkisarkan mengenai Persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Persidangan itu menarik perhatian apabila menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Menurut tulisan Richard, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersemayam di atas takhta berhias emas dan bertitah selama setengah jam.

“Tidak ada soalan dibenarkan. Tiada undi yang diambil. Selepas itu Parlimen ditangguhkan sehingga Julai. Inilah yang berlaku hari ini demokrasi di Malaysia,” dakwanya.

Richard berkata, pengundi melakar sejarah pada 2018 apabila mereka menggulingkan gabungan pemerintahan yang penuh skandal yang telah menguasai negara itu selama lebih 60 tahun.

“Namun beberapa bulan belakangan ini, hasilnya telah dibalikkan, semuanya tanpa pilihan raya baru atau undi di Parlimen. Dengan pertolongan raja negara itu, ahli politik dari kerajaan sebelumnya kembali berkuasa dalam gabungan baharu.

“Seperti autokrat di seluruh dunia dan di seluruh rantau ini, pemimpin baharu Malaysia telah menggunakan coronavirus sebagai dalih untuk mengikis norma demokratik, menangguhkan kedaulatan undang-undang dan menyatukan kuasa,” dakwanya.

Richard mendakwa, Muhyiddin – Perdana Menteri yang baharu dilantik – dan sekutunya mendapat manfaat daripada sekatan yang bertujuan melambatkan penyebaran virus, tetapi juga mengehadkan kemampuan pembangkang untuk mengatur dan mencabar mereka.

“Gabungan pemerintahan baharu termasuk bekas Datuk Seri Najib Razak yang ‘menyedut’ berbilion dolar dari dana pelaburan kerajaan yang pernah dikendalikannya.

“Najib yang kini hanya Ahli Parlimen menghadiri sesi Isnin sebelum menuju ke mahkamah pada keesokkan harinya untuk perbicaraan kes rasuah. Beliau menghadapi puluhan tuduhan jenayah dan banyak perbicaraan, beranggapan pemerintah baharu terus mendakwanya,” tulis Richard.

Bahkan dia turut mendakwa Muhyiddin membatalkan sidang Parlimen pada Mac kerana pandemik, dan had dalam perjumpaan awam menghalang jenis tunjuk perasaan yang dilihat pada era Najib, apabila puluhan ribu orang turun ke jalan menuntut pengunduran dirinya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close