Warga emas maut dipukul anak hidap masalah mental
Polis turut tahan penagih dadah ugut bunuh kakak

KEPALA BATAS, 30 Ramadan 1441H, Sabtu – Seorang wanita warga emas maut dipukul anak perempuannya yang menghidap masalah mental, selepas dua beranak itu bergaduh dalam kejadian di rumah mereka di Lahar Kepar, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada 9.30 malam itu, Loh Foh Mooi, 90, ditemukan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di muka dan tangan di ruang tamu rumah mereka.
“Semasa kejadian itu terdapat cucu perempuan mangsa yang juga anak suspek berusia 16 tahun di rumah itu dan remaja berkenaan mendengar pertengkaran antara ibu dan neneknya itu,” katanya di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, remaja itu yang ketakutan kemudiannya menghubungi sepupunya yang tinggal di Sungai Dua, dekat sini untuk meminta bantuan kerana bimbang sesuatu terjadi.
“Tidak lama kemudian ibu saudara remaja itu yang juga anak bongsu warga emas berkenaan datang ke rumah tersebut dan sebaik membuka lampu dia terkejut apabila menemui ibunya dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya anak bongsu mangsa kemudiannya menghubungi hospital, sebelum pasukan perubatan tiba dan pemeriksaan mendapati warga emas itu telah meninggal dunia serta terus memaklumkan kepada polis.
Katanya, mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat, manakala suspek yang berumur 53 tahun dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan mental sebelum polis menahannya untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Noorzainy berkata, polis menahan seorang penagih dadah yang mengugut mahu membunuh kakaknya kerana enggan memberikan wang untuk dia membeli dadah.
Beliau berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan petang semalam di sebuah rumah di Kampung Lembah, Penaga, di sini, selepas kakaknya menghubungi polis.
“Kejadian itu bukan pertama kali berlaku malah suspek juga sebelum ini selalu mengamuk jika tidak diberikan wang untuk membeli dadah,” katanya.
Katanya, siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah dan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah. -Bernama