Berita Utama

COVID-19: 60 kes baharu, 33 pulih, tiada kematian

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245

KUALA LUMPUR, 1 Syawal 1441H, Ahad – Kes positif COVID-19 yang direkod hari ini menunjukkan peningkatan berbanding semalam apabila 60 kes baharu dilaporkan, dengan tujuh daripadanya merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,185. Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baharu yang dilaporkan, tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes di sebuah kluster baharu di DTI Sepang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan terdapat 33 kes yang telah pulih hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah 5,945 kes atau 82.1 peratus.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tiada kematian dicatat menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata sehingga kini terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau mengingatkan meskipun hari ini merupakan sambutan Aidilfitri dan cuti umum di Malaysia, ramai anggota barisan hadapan masih bertugas.

“Jika sebelum ini masyarakat bergantung kepada anggota barisan hadapan untuk membendung penularan COVID-19, kini anggota barisan hadapan pula mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan lebih besar dalam memerangi wabak COVID-19,” katanya.

Beliau seterusnya berkata petugas barisan hadapan berharap agar seluruh masyarakat Malaysia memainkan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri bagi memastikan prosedur operasi sandard (SOP) dapat dipatuhi dalam tempoh perayaan ini.

Melalui norma dan kebiasaan baharu ini kita dapat sama-sama membendung wabak COVID-19 semasa dan selepas musim perayaan ini, katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close