Berita Utama

COVID-19: Dana bantu PKS tak penuhi keperluan sebenar

DPMM bimbang ramai PKS tak dapat merasa bantuan dari kerajaan

BANGI, 1 Syawal 1441H, Ahad – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) melahirkan rasa gusar dengan angka penerima Dana Pinjaman Mudah PKS kerana ia mewakili kurang satu peratus daripada lebih 700,000 PKS dalam negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Bakri Bakar berasa bimbang kerana melalui kajian pihaknya, ramai pengusaha dan usahawan Melayu yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19, tidak berpeluang menerima dana khas ini.

Selain itu, pihaknya juga mendapati, usahawan bukan Bumiputera yang menerima pinjaman menerusi dana ini turut mengeluh kerana pembiayaan diberikan tidak mencukupi selepas nilai permohonan dipotong daripada jumlah keperluan mereka yang sebenar.

“Sebagai contoh, jika memerlukan aliran tunai RM300,000 untuk keperluan bagi tempoh enam bulan akan datang untuk membantu aliran tunai operasi, mereka cuma diberikan kelulusan dana RM100,000.

“Ini menyebabkan keperluan aliran tunai yang mereka sangat perlukan masih tidak dapat dipenuhi, sekali gus memaksa usahawan yang berdepan masalah ini tutup kedai dalam jangka masa enam bulan berkenaan,” katanya dalam artikel yang disiarkan BH Online, hari ini.

Pada masa sama, DPMM turut berasa khuatir memikirkan nasib usahawan Melayu yang terkebelakang dalam menerima dana disediakan kerajaan bagi meringankan beban pengusaha PKS, apatah lagi kerana industri perbankan dilihat lebih selesa memberi bantuan pembiayaan kepada pelanggan mereka yang sedia ada.

“Dalam hal ini, kecenderungan pihak bank mengutamakan pelanggan sedia ada tidak boleh disalahkan kerana lebih mudah memberikan bantuan pembiayaan kepada orang yang dikenali berbanding pelanggan baharu yang belum dikenali dan tidak dapat dipastikan kebolehpercayaan bayaran balik mereka,” katanya.

Justeru, DPMM mencadangkan kepada kerajaan supaya dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) ditambah sehingga RM20 bilion lagi.

Pada masa sama, sebahagian daripadanya perlu dipastikan diperuntukkan kepada usahawan Melayu yang mewakili 294,000 daripada keseluruhan 700,000 usahawan PKS di Malaysia.

“Langkah itu akan memastikan usahawan, termasuk pengusaha Melayu mendapat pembelaan sewajarnya

“… sekali gus meneruskan perniagaan mereka serta menggajikan pekerja yang mewakili 66 peratus atau 10 juta daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button