Berita UtamaDunia

COVID-19: Gaza rekod kematian pertama

35 kes baharu disahkan, meningkat dua kali ganda kepada 55 kes

GAZA, 1 Syawal 1441H, Ahad – Gaza – wilayah yang terkepung – melaporkan kematian pertama akibat jangkitan pandemik COVID-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini, menurut pihak berkuasa.

Kematian pertama itu membabitkan seorang warga emas berusia 77 tahun iaitu Fadila Muhammad Abu Raida, yang berasal dari Khan Younes.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu mengesahkan mangsa meninggal dunia di pusat pengasingan di hospital Persimpangan Rafah kerana dijangkiti COVID-19.

Gelombang jangkitan dalam kalangan penduduk Gaza dengan lebih dua kali ganda jumlah kes sejak beberapa hari lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan.

Gaza sebelum ini berjaya mengawal jumlah kes COVID-19 yang disahkan tidak lebih daripada 20, dengan sempadannya antara Israel dan Mesir ditutup bagi mencegah penularan pandemik itu.

Namun, sejak beberapa hari lalu, sekitar 1,500 rakyat Palestin yang terperangkap di Mesir dibenarkan untuk kembali ke persimpangan Rafah, sementara sebahagian lagi dari Israel.

Kesemua mereka dikuarantinkan, namun 35 kes baharu telah disahkan, termasuk 25 kes pada Khamis menjadikan keseluruhan kepada 55 kes.

Pegawai Kementerian Kesihatan, Yussef Abu al-Reesh memaklumkan bahawa mereka yang dijangkiti adalah kontak dengan penduduk lain yang kembali dari luar Gaza, termasuk di pusat kuarantin.

Sejak beberapa minggu lalu juga, langkah pencegahan di wilayah berkenaan telah dilonggarkan dengan kedai makan serta restoran dibenarkan untuk beroperasi semula. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button