Dunia

Israel beku pindahan hasil cukai bulanan AS$188 juta Palestin

Balas tindakan PA sokong Hamas, gagal kutuk serangan 7 Oktober

TEL AVIV, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Kerajaan negara haram Israel membekukan pemindahan hasil cukai berjumlah AS$188 juta setiap bulan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Menteri Kewangan Israel, Bazalel Smotrich berkata, dana itu dibekukan kerana kegagalan PA yang berpangkalan di Ramallah mengutuk serangan rentas sempadan oleh pejuang Hamas ke wilayah Israel pada 7 Oktober lalu.

“PA tidak sepatutnya mengelak daripada tindakan biadab ini, dan pegawai dalam Pihak Berkuasa malah menyatakan sokongan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan itu.

“Malah, PA bertindak membawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya.

Smotrich, Menteri Kabinet sayap kanan berkata demikian dalam surat kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu seperti dipetik oleh The Jerusalem Post.

Setakat ini, tiada maklum balas daripada PA mengenai tindakan rejim itu.

Hasil cukai – yang dikenali di Palestin dan Israel sebagai maqasa – dikutip oleh kerajaan Israel bagi pihak PA atas import dan eksport Palestin.

Israel, sebagai balas memperoleh komisen sebanyak tiga peratus daripada hasil yang dikutip.

Hasil cukai yang dikutip dianggarkan sekitar AS$188 juta setiap bulan, yang mewakili sumber pendapatan utama bagi PA. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button