Berita Utama

KWP sedia bantu gelandangan baharu

Laporkan diri kepada DBKL bagi bolehkan mereka dibantu

KUALA LUMPUR, 1 Syawal 1441H, Ahad – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedia membantu gelandangan baharu yang dikesan luar ibu negara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jika mereka datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata kumpulan gelandangan itu tidak perlu tidur di tepi jalan, sebaliknya segera melaporkan diri kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang sedia membantu mereka.

“Saya ada terima laporan dan gambar (gelandangan baharu) dan ini kita pantau dari semasa ke semasa. Saya difahamkan mereka datang dari luar Kuala Lumpur.

“Kalau mereka datang kerana nak mencari kerja dan bergelandangan sementara, saya sedia untuk bantu mereka.

“Jika terpaksa bergelandangan sementara nak dapatkan pekerjaan, mereka boleh lapor diri terus kepada DBKL, tak perlu tidur bawah jambatan dan tepi jalan kerana saya sudah minta DBKL wujudkan satu unit sementara untuk lihat isu gelandangan,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, Annuar yakin peluang pekerjaan ada untuk mereka dengan gaji bulanan sekurang-kurangnya RM1,200, sama ada bekerja di pasar borong atau dengan mana-mana syarikat yang mahu menawarkan pekerjaan.

“Yang kuat dan sihat, (boleh bekerja) di pasar borong. Saya masih boleh ambil pekerja, asalkan nak bekerja.

“Saya percaya peluang pekerjaan ada. Contohnya, kita perlukan 50 orang untuk bekerja sebagai penyelenggara bangunan dengan gaji RM1,400 sebulan.

“Kerja mudah saja, cuci lantai, buat sanitasi, lap lif dan sebagainya. Kepada yang tiada kerja, jangan tidur merata tempat kerana itu bahaya,” katanya.

Semalam, BH melaporkan DBKL mengesan beberapa kumpulan gelandangan yang masih berada di sekitar ibu negara, dipercayai baru datang ke Kuala Lumpur dari luar wilayah itu.

Khamis lalu, pendakwah terkenal, Ebit Liew memuat naik status dan gambar di Facebook memaklumkan beliau mengagihkan bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Ia menimbulkan persoalan berikutan KWP dan DBKL sebelum ini sudah menyelamatkan sekitar 864 gelandangan dan ditempatkan secara sementara di 12 penempatan bagi membendung penularan COVID-19 sepanjang PKP dilaksanakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button