Berita Utama

Muslim seluruh dunia akur sambut Aidilfitri ketika COVID-19

Masih kekalkan tradisi melalui alternatif teknologi, media sosial

DOHA, 1 Syawal 1441H, Ahad – Sambutan Aidilfitri tidak lagi sama seperti tahun sebelumnya susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang melumpuhkan pergerakan manusia di seluruh dunia.

Kebanyakan negara yang mempunyai penduduk muslim seperti Turki, Qatar dan Indonesia telah menangguhkan kebanyakan aktiviti berkaitan sambutan hari raya, termasuk solat sunat Aidilfitri.

Di Arab Saudi, masjid menyiarkan gesaan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, tanpa perlu berjemaah di masjid dan hanya sekadar dibenarkan dilakukan di rumah masing-masing.

Sementara, penduduk muslim minoriti di Amerika Utara dan Latin juga menyambut hari raya di bawah perintah berkurung dan beberapa sekatan berkaitan akibat wabak.

“Tahun ini perayaan Aidilfitri menyedihkan. Bagaimanapun masih adalah kegembiraan setelah sebulan berpuasa pada Ramadan, tetapi ia kelihatan janggal kerana tidak disambut seperti tahun sebelumnya, di mana kita berkumpul, berpakaian baru dan menunaikan solat,” kata Ahli Pusat Islam Chile di Santiago, Fuad Musa.

Biarpun sudah tiada lagi aktiviti berkunjung, organisasi dan individu muslim masih mengekalkan tradisi Aidilfitri melalui alternatif teknologi dan media sosial, katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada lima juta kes COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia dengan lebih 341,000 kematian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button