Berita Utama

PKP medan ujian umat Islam Malaysia

Kebersamaan keluarga dapat baiki, erat lagi hubungan: Khutbah

BANGI, 1 Syawal 1441H, Ahad – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, susulan penularan pandemik COVID-19 adalah medan ujian kepada seluruh rakyat Malaysia, menurut khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Khutbah khas sempena Hari Raya Aidilfitri itu berkata, susulan wabak berkenaan, umat Islam melalui Ramadan dan Syawal tahun ini dengan cara yang berbeza seperti kebiasaan sebelumnya.

Katanya, umat Islam bukan hanya menempuh ujian kesabaran dalam bulan Ramadan, bahkan PKP juga menjadi medan ujian kepada mereka.

“Aidilfitri yang kita raikan pada kali ini juga pastinya berbeza dengan kebiasaan yang kita sambut saban tahun. Hubungan kekeluargaan juga pastinya lebih erat kerana kita duduk bersama keluarga dalam tempoh PKP yang panjang.

“Pastinya, kebersamaan kita bersama keluarga itu akan dapat memperbaiki dan mempereratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga,” katanya.

Khutbah berkata, daripada tempoh itu, para suami telah menjalankan tanggungjawab sebagai imam solat jemaah, tarawih dan bertadarus.

Sementara, ibu bapa dapat menguruskan rumah tangga dengan lebih baik bersama anak-anak dalam menguruskan kerja seharian di rumah.

“Sebagai manusia, kita pastinya melakukan kesalahan sama ada kesalahan kepada Allah SWT mahupun kesalahan sesama manusia. Justeru, pada hari yang baik dan mulia ini, ketika semua sedang dalam keadaan gembira dan berlapang dada, maka marilah kita semua saling bermaafan.

“Ia tradisi baik yang perlu diteruskan sampai bila-bila. Teknologi yang ada pada hari ini semakin memudahkan urusan kita untuk berhubung dengan sanak saudara. Gunakanlah ia dengan sebaiknya,” katanya.

JAKIM turut mengingatkan bahawa Aidilfitri bukanlah semata-mata waktu untuk umat Islam bergembira, namun terdapat juga beberapa amalan sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ seperti berpuasa enam hari di bulan Syawal.

“Pada hari yang mulia ini juga, marilah kita memperbanyakkan berselawat dan ucapan salam ke atas Baginda Nabi Muhammad ﷺ ,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button