Berita Utama

Polis tahan 90 lelaki dalam operasi samseng jalanan

Dikesan berkumpul melakukan aksi berbahaya di jalan raya

JOHOR BAHRU, 1 Syawal 1441H, Ahad – Polis menahan seramai 91 individu termasuk seorang wanita dalam Operasi Samseng Jalanan di Kluang awal pagi ini kerana dikesan berkumpul beramai-ramai dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata semua mereka yang berumur 17 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi dari pukul 12 tengah malam tadi hingga 6.00 pagi, yang melibatkan lima pegawai dan 25 anggota dari pelbagai bahagian serta cawangan.

Beliau berkata operasi dibuat di seluruh daerah Kluang, dan pada pukul 2.00 pagi, polis telah mengepung jalan-jalan di kawasan Jalan Lingkaran Tengah (Stadium Kluang) selepas mendapati ramai yang berkumpul di kawasan itu menunjukkan aksi-aksi menunggang motosikal secara merbahaya, untuk tontonan ramai.

“Bagaimanapun, menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri, termasuk sekumpulan 10 motosikal yang merempuh sekatan jalan raya hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di lengan kiri dan bahagian pinggang belakang kanan selain bengkak di kedua-dua kakinya,” kata beliau dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya berikutan tindakan agresif itu, polis terpaksa melakukan serbuan serentak di kawasan itu dan berjaya menahan 91 orang individu bersama lima buah kereta dan 74 motosikal.

Mohd Abduh berkata semua mereka akan disiasat dan dituduh mengikut Seksyen 353 dan 269 Kanun Keseksaan; Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button