Berita UtamaIstimewa

Darurat: Kuasa dipusat kepada Agong, birokrasi diketepikan

Tumpuan kini pada langkah selesaikan krisis ekonomi, kesihatan dihadapi negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin memberi peluang untuk mengetepikan birokrasi dan memusatkan kuasa kepada Seri Paduka. 

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ia membolehkan ordinan dimasyhurkan tanpa dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Beliau berkata, secara umumnya undang-undang biasa boleh tergantung dan kuasa Eksekutif terpahat kepada Yang di-Pertuan Agong di mana Seri Paduka boleh membuat ordinan-ordinan yang pada hemat perlu dibuat dan dimasyhurkan (Perkara 150(2B). 

Katanya, ordinan tersebut menjadi undang-undang yang baik (good law) walaupun terdapat ketidakpatuhan prosedur (Perkara 150(2C)).

“Kuasa eksekutif bagi Persekutuan pula dilanjutkan kepada kuasa-kuasa yang dimiliki Negeri (Perkara 150(4)) di mana tiada undang-undang boleh diisytiharkan tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan (Perkara 150(6)). 

“Walau bagaimanapun lanjutan kuasa ini tidak boleh terpakai berkaitan dengan undang-undang Islam dan adat Melayu (Perkara 150(6A)).

“Walau apa pun, di dalam Perlembagaan, keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar berkaitan darurat ini (Perkara 150(8)),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, Perlembagaan Persekutuan adalah tergantung dan kuasa Eksekutif berpusat kepada Persekutuan. 

“Tentera juga boleh memainkan peranan bagi mengekalkan keamanan dalam negara,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, proklamasi darurat ini juga menjadi satu kaedah untuk mengurangkan kebergantungan rakyat kepada ahli politik dan meredakan kemelut politik yang sedang dihadapi. 

“Kita sekurang-kurangnya menghadapi tiga krisis iaitu krisis politik, ekonomi dan kesihatan. 

“Dengan redanya krisis politik tumpuan boleh diberikan kepada menangani krisis ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button