Berita Utama

Lebih RM800,000 sumbangan menerusi Kempen Ramadan, Solidariti Bersama Frontliners

Terima kasih kepada penyumbang, doakan COVID-19 berakhir

BANGI, 2 Syawal 1441H, Isnin – Yayasan Maghfirah menerusi Kempen Ramadan dan Projek Solidariti Bersama Frontliners berjaya mengumpul lebih RM800,000 hasil sumbangan orang ramai dan diserahkan kepada golongan yang memerlukan.

Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi mengucapkan terima kasih kepada penyumbang dua program berkenaan yang akan berterusan sehingga rantaian jangkitan COVID-19 diputuskan sepenuhnya.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Pemuda ISMA dan Pusat Komuniti Anjung Budi serta belasan persatuan penduduk di seluruh Malaysia yang tidak dapat kami sebutkan satu persatu namanya kerana memberikan kerjasama padu dalam pengagihan sumbangan Ramadan tahun ini.

“Penghargaan turut diberikan kepada Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (i-Medik)  kerana bersama-sama menjayakan kempen Solidariti Bersama Frontliners. 

“Kempen ini tetap akan diteruskan sehingga rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Sanusi, sebanyak RM587,078.64 telah berjaya dikutip dan disalurkan menerusi Projek Solidariti Bersama Frontliners, melalui sumbangan penutup hidung dan mulut, pakaian perlindungan PPE, set tekanan darah dan peralatan perubatan lain.

Sementara Kempen Ramadan berjaya mengumpulkan RM269,277.44 dan disalurkan kepada 6,050 penerima Iftar Asnaf, 380 keluarga melalui program Kasih Ramadan dan 400 keluarga untuk Kasih Syawal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close