Berita Utama

Terima kasih petugas barisan hadapan

Mereka tak tidur, terus bekerja, terus laksana tugas

PUTRAJAYA, 2 Syawal 1441H, Isnin – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang masih bertugas pada Hari Raya bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Katanya, meskipun ketika sambutan Aidilfitri, operasi sanitasi awam, sekatan jalan raya dan rondaan masih dijalankan oleh kakitangan kesihatan, polis, tentera, bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam membantu usaha membendung wabak itu.

“Semalam Hari Raya pertama, operasi sanitasi masih dijalankan, maknanya petugas-petugas barisan hadapan bukan sahaja polis buat pemantauan, termasuk petugas hospital juga.

“Mereka tidak tidur, terus bekerja malah bomba dan PBT (pihak berkuasa tempatan) masih terus menjalankan tugas mereka.

“Jutaan terima kasih kepada semua barisan hadapan ini termasuk yang tak disebutkan seperti APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan RELA,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak lima operasi sanitasi meliputi empat zon di dua negeri dijalankan semalam iaitu empat di Sabah dan satu operasi di Sarawak.

“Sejak 30 Mac lalu, Ops Sanitasi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melakukan 7,050 operasi sanitasi merangkumi 174 zon termasuk di 78 Zon Kuning dan Merah.

“Sebanyak 10,675 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,615 pusat perniagaan, 3,855 bangunan kerajaan, 1,578 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat, 2,278 tempat awam dan 349 pasar raya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close