Berita Utama

Tiada diskriminasi anak-anak petugas barisan hadapan

SOP taska masih peringkat cadangan, belum dibentang kepada MKN

PUTRAJAYA, 2 Syawal 1441H, Isnin – Tidak timbul isu pengasingan atau diskriminasi terhadap anak-anak petugas barisan hadapan terutamanya warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penempatan di taman asuhan kanak-kanak (taska), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) di taska, yang masih di peringkat cadangan itu dan belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. 

Beliau berkata, petugas barisan hadapan terutamanya yang bekerja di hospital adalah satu daripada kumpulan berisiko untuk terkena jangkitan dan begitu juga dengan ahli keluarga mereka. 

“Bukan kami sekat. Kami khaskan satu tempat untuk anak-anak petugas barisan hadapan. Kalau taska di hospital, tidak ada masalah. Namun, kalau bergaul dengan kanak-kanak lain, perlu khaskan.

“Ini bukan pengasingan tetapi khaskan di satu tempat. Kami memberi pengawasan khusus kepada anak petugas kesihatan. Mungkin cara kita mengolah perkataan seolah-olah seperti kita asingkan, namun sebenarnya ia memberikan perhatian khusus kepada mereka,” katanya semasa menjawab hal berkaitan garis panduan berkaitan operasi taska, yang didakwa sebagai satu bentuk ‘diskriminasi’ terhadap anak-anak petugas barisan hadapan.

 Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan juga sentiasa diingatkan mematuhi langkah keselamatan apabila kembali ke pangkuan keluarga termasuk tidak terus menyentuh anak-anak mereka sebelum melakukan amalan pembersihan diri. 

Beliau berkata, SOP taska itu akan diperhalusi dan dibentangkan kepada MKN sebelum dilaksanakan.

“KKM ingin mengulangi bahawa tiada sebarang diskriminasi dalam memberi rawatan COVID-19 kepada semua, sama ada kepada warganegara atau bukan warganegara, dewasa, atau kanak-kanak,” katanya. 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button