Berita UtamaIstimewa

‘Banned’ akaun main isu pemandu mabuk, FB sebelahi siapa?

Hukuman di Malaysia 'acah-acah' saja, lunak dengan pemandu

BANGI, 3 Syawal 1441H, Selasa – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mempersoalkan, aplikasi sosial Facebook bagaikan menyebelahi pemandu mabuk apabila mengharamkan akaun beberapa individu yang berkongsi berita mengenai isu itu.

“Hari ini sahaja, ramai teman kenalan saya yang telah di’banned’ oleh FB kerana berkongsikan berita mengenai pemandu mabuk yang menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Prof Zainur menegaskan, beliau sering lantang bersuara sejak empat, lima tahun yang lalu agar pemandu mabuk yang menyebabkan kematian mesti dihukum dengan tegas.

Pun begitu, beliau kesal apabila tiada sebarang perubahan dapat dilihat, meskipun telah silih berganti tiga kerajaan memerintah negara ini.

Sedangkan, katanya, kerajaan Taiwan sendiri mengenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“Kenapa kerajaan Malaysia terlalu lunak dengan pemandu yang mabuk dengan hukuman yang ‘acah-acah’ sahaja?

“Berapa ribu nyawa lagi yang akan hilang sebelum kerajaan akan ambil tindakan yang tegas?

“Atau adakah mahu menteri atau anak menteri mati dilanggar pemandu mabuk dahulu sebelum digubal undang-undang yang baharu? Siapakah nama Menteri Pengangkutan atau Menteri Undang-Undang ya?,” soalnya.

Semalam, seorang lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta Toyota CH-R yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam kejadian 9.20 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Kamarulzaman berkata, lelaki berusia 42 tahun yang memandu Toyota CH-R, dipercayai telah mengambil minuman keras di rumah kawannya di Semambu sebelum kejadian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button