Berita Utama

COVID-19: Kes turun, PA longgar sekatan di Tebing Barat

Premis perniagaan dibenarkan beroperasi semula mulai hari ini: PM Palestin

TEBING BARAT, 3 Syawal 1441H, Selasa – Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengumumkan kelonggaran sekatan di Tebing Barat susulan penurunan jumlah jangkitan baharu COVID-19 di wilayah yang diduduki itu. 

Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh berkata, kedai dan premis perniagaan akan beroperasi seperti biasa mulai hari ini, sementara kakitangan kerajaan akan kembali bekerja selepas cuti Hari Raya Aidilfitri pada Rabu. 

Katanya, perkhidmatan pengangkutan awam juga akan beroperasi semula, termasuk membenarkan masjid, gereja dan taman awam dibuka semula namun masih perlu mematuhi langkah pencegahan seperti jarak sosial. 

Shtayyeh berkata, kafe dan restoran akan dibenarkan untuk melayani pelanggan tetapi tertakluk kepada beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. 

“Kelonggaran ini dan langkah untuk beransur-ansur kembali kepada kehidupan normal perlu dilakukan dengan berhati-hati,” katanya sambil mengingatkan akan mengetatkan kembali arahan sekiranya kes meningkat.

PA – yang berpusat di Ramallah – mengisytiharkan darurat pada bulan Mac bagi membendung penyebaran COVID-19. 

Krisis kesihatan telah menyebabkan 50 peratus penurunan pendapatan komersial di Tebing Barat, yang dianggap tamparan hebat kepada ekonomi wilayah itu yang sedia sakit kerana 17.6 peratus pengangguran, kata pegawai tempatan.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 400 kes yang disahkan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan tiga kematian direkod. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close