Berita Utama

Dua beradik mabuk halang tugas polis ditahan

Tangkapan dilakukan terhadap individu menjerit-jerit dalam kereta

PORT DICKSON, 3 Syawal 1441H, Selasa – Polis menahan dua beradik yang berada dalam keadaan mabuk serta menghalang tugas penjawat awam dalam Ops COVID-19 pada hari kedua Aidilfitri yang dijalankan di Kilometer (km) 10, Jalan Pantai Port Dickson, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian 9.10 malam itu, anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah menahan pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Persona yang masing-masing berusia 35 dan 34 tahun.

“Tangkapan dilakukan terhadap dua individu yang menjerit-jerit dalam sebuah kereta. Sebelum tangkapan dilakukan, polis yang bertugas telah mengekori mereka sehingga ke Bulatan Bandar Sunggala dan telah mengarahkan mereka untuk berhenti namun tidak diendahkan selain menghimpit pula kenderaan pasukan yang digunakan oleh anggota polis bertugas.

“Kereta berkenaan ditahan di tepi Jalan Taman Bandar Sunggala selepas diekori kira-kira 2km namun kedua-dua suspek tersebut telah turun dan menuju ke arah polis dengan membuat bising serta provokasi sambil menjerit. Mereka juga menghentak tangan ke atas bumbung kereta yang digunakannya selain bercakap kurang ajar serta meninggi suara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek juga enggan memberikan butiran pengenalan diri walaupun beberapa kali telah diminta.

“Ini kerana mereka enggan memberi kerjasama dan telah mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan penugasan pihak polis.

“Siasatan juga mendapati dua beradik ini dari Seremban menghala balik ke rumah mereka di Bandar Sunggala berada dalam keadaan mabuk dan mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sementara itu, Aidi Sham berkata tiga kompaun diberikan terhadap pengguna jalan raya di sekatan jalan raya km 26, Jalan Lukut Sepang yang merupakan sempadan daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan Sepang, Selangor kerana membuat perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran serta memberikan alasan tidak munasabah.

Aidi Sham menasihatikan orang awam supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan oleh kerajaan dan tiada pergerakan merentas negeri melainkan kebenaran daripada pihak polis atas hal-hal kecemasan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close