Berita Utama

Konon tak akan kompromi, tapi mana hilang 100,000 pelancong?

PEMBELA desak Ketua Jabatan Imigresen jawab persoalan ini

BANGI, 3 Syawal 1441H, Selasa – “Kompromi konon! Ke mana hilangnya 100,000 pelancong dari China dan India dalam Malaysia?,” demikian soal Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari susulan kenyataan terbaharu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Terdahulu, Khairul berkata, JIM akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) sekiranya mempunyai maklumat mengenai kumpulan terbabit.

Beliau berkata, itu adalah tugasan hakiki jabatan dan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

Membidas kenyataan itu, Cikgu Izzat berkata, tahniah buat seluruh anggota JIM kerana sedaya upaya merealisasikan cita-cita Ketua Pengarah yang disifatkan sebagai ‘syok sendiri’.

Katanya, sebelum menaburkan janji untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap PATI, Ketua JIM perlu terlebih dahulu menjawab soalan mengenai keberadaan ratusan ribu pelancong asing yang dilaporkan hilang dan tidak pernah keluar dari Malaysia sejak mereka masuk ke dalam negara pada 2016-2018.

“Soalan kami mudah, ke manakah hilangnya 100,000 pelancong China dan India dalam Malaysia?

“PEMBELA tidak akan berkompromi selagi Ketua Pengarah JIM tidak menjawab perkara ini! Kompromi konon!,” katanya dalam tulisan di laman Facebook.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun 201&.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Perkara ini amat mengejutkan dan mencetuskan kebimbangan ramai pihak sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada mereka sudah menetap secara tidak sah di dalam negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button