Berita Utama

MB Pahang mahu suspek penyebab kemalangan dihukum

Wan Rosdy ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Irwan Herman

BANGI, 3 Syawal 1441H,  Selasa – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mahu individu yang menjadi penyebab kemalangan maut di Jalan Pintasan Kuantan malam tadi, dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman setimpal.

Beliau dalam kenyataan hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Irwan Herman Kamaruddin yang meninggal dunia akibat dilanggar oleh seorang pemandu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Irwan Herman Kamaruddin dan agar beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

“Saya berharap agar penyebab kemalangan ini akan dihadapkan ke mahkamah dan dihukum dengan hukuman setimpal,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam tadi, Irwan, 41, yang juga kakitangan Alam Flora maut ditempat kejadian selepas dilanggar pemandu berusia 42 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol serta memandu secara melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, situasi itu telah mengakibatkan beberapa kenderaan lain mengalami kemalangan kerana mengelak daripada bertembung dengan kereta yang dipandu suspek. 

Suspek kini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close