Berita Utama

Pemandu mabuk: MOT, JPJ teliti pinda Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini

KUALA LUMPUR, 3 Syawal 1441H, Selasa – Satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam catatan Facebook rasmi beliau memaklumkan pindaan akta itu khususnya adalah berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

“Pindaan akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan sebelum ia dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya menerusi catatan tersebut.

Beliau turut berkongsi pautan untuk orang ramai menjawab soal selidik yang dijalankan MOT melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat di https://docs.google.com/…/1FAIpQLSdFO_IIrh6otCgdFL…/viewform

Dr Wee juga menyatakan rasa sedihnya dengan berita mengenai kemalangan khususnya yang melibatkan pemandu mabuk.

Sebagaimana kenyataannya pada 4 Mei lepas, beliau komited dan akan bertindak demi mendapatkan pembelaan kepada mangsa korban kemalangan maut serta menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close