Berita Utama

Tiada kompromi kompaun ziarah raya

Perkara itu tidak sepatutnya berlaku susulan pelaksanaan PKPB

KUALA SELANGOR, 3 Syawal 1441H, Selasa – Polis Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kediaman yang membenarkan rumah mereka dikunjungi tetamu bagi tujuan ziarah Hari Raya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan.

“Dalam operasi pemantauan kami semalam, tujuh kompaun telah dikeluarkan terhadap tuan rumah yang membenarkan rumah mereka dijadikan tempat menyambut Aidilfitri.

“Sekiranya kami mengesan kesalahan ini, tuan rumah jangan terkejut sekiranya anggota kami masuk ke rumah (pemilik) untuk beraya sekali dan tindakan kompaun akan dikenakan ke atas mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah pada Aidilfitri, untuk hari pertama perayaan sahaja susulan PKPB yang bertujuan membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Fadzil berkata polis Selangor akan terus mempergiatkan operasi pemantauan PKPB berikutan masih ramai individu berdegil dan ingkar arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, kerana selain kesalahan ziarah Hari Raya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan yang melanggar PKPB dalam operasi semalam.

“Antara kompaun lain ialah 59 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melakukan aktiviti memancing beramai-ramai di sebuah kolam pancing ikan di Hulu Selangor.

“Sebanyak 14 kompaun lagi dikeluarkan kepada pengunjung yang berkumpul di Pantai Remis, Jeram, di sini yang menjadikan keseluruhan kompaun semalam ialah 100 (kompaun),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close