Berita Utama

22 warga China didakwa promosi judi dalam talian

Tertuduh mengaku tak bersalah, tarikh sebutan semula kes pada Julai

PETALING JAYA, 4 Syawal 1441H, Rabu  – Seramai 22 warga China termasuk dua wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mempromosi perjudian dalam talian melalui laman web, awal bulan ini.

Kesemua tertuduh yang berumur antara 23 dan 31 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham dan Majistret  Zhafran Rahim Hamzah.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di No D-15-13 dan E-12-16, Pacific Place 1A/4A, Off Lapangan Terbang Subang di sini, pada 12 tengah hari dan 12.30 tengah hari, 9 Mei lepas.

Kesemua tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, jika sabit kesalahan.

Bagi prosiding membabitkan 10 tertuduh di hadapan Nor Ariffin, majistret itu membenarkan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan kesemua pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Pendakwaan di kedua-dua mahkamah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Siti Zubaidah Mahat, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nur Aminahtul Marrdhiah Md Nor dan Lim Chee Chung.

Media sebelum ini melaporkan, penahanan 22 warga China dipercayai terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian di sebuah premis di Ara Damansara di sini, yang menyasarkan mangsa dari negara itu. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button