Berita UtamaDunia

COVID-19: 15,000 Rohingya di kem pelarian dikuarantin

7 pusat kuarantin rawat 700 pesakit COVID-19 siap dibina

COX’S BAZAR, 4 Syawal 1441H, Rabu– Sekurang-kurangnya 15,000 pelarian Rohingya perlu menjalani kuarantin di kem Kutupalong, Bangladesh, berikutan jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19 meningkat kepada 29 orang.

Sebelum ini, pakar-pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa wabak berkenaan mampu menular dengan lebih cepat di kawasan sempit, di mana kem pelarian berkenaan menempatkan hampir sejuta etnik Rohingya.

Pihak berkuasa Bangladesh telah mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan di kem berkenaan sejak bulan lalu dan kes pertama dikesan pada pertengahan bulan Mei.

Pegawai kanan kesihatan di Cox’s Bazar, Toha Bhuiyan berkata, meskipun kebanyakan pelarian tidak menunjukkan sebarang gejala terkena jangkitan COVID-19, namun mereka perlu diasingkan di pusat kuarantin.

Beliau berkata, sebanyak tiga jalan menuju ke kem pelarian yang dikesan mempunyai kes COVID-19 telah disekat oleh pihak berkuasa.

Sekatan berkenaan telah memberi kesan perbatasan pergerakan kepada kira-kira 15,000 etnik Rohingya.

Sementara itu, para sukarelawan di kem-kem pelarian menyatakan kerisauan dijangkiti wabak berikutan mereka bekerja tanpa peralatan perlindungan mencukupi.

“Kami berusaha supaya semua orang yang dijangkiti termasuk kontak rapat dapat dikesan dengan lebih cepat,” kata Toha.

Beliau berkata, sebanyak tujuh pusat kuarantin bagi merawat 700 pesakit COVID-19 telah siap dibina.

Bagaimanapun, pengasas Free Rohingya Coalition, Nay San Lwin mendakwa tiada tempat tidur dan peralatan unit rawatan rapi (ICU) mencukupi bagi menampung para pelarian dan komuniti setempat di wilayah Cox’s Bazar. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close