Berita Utama

Kemarau di Terengganu dijangka antara tahun 2025 dan 2030

Berlaku akibat fenomena El Nino, dan diikuti banjir yang lebih kerap

KUALA NERUS, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Terengganu dijangka mengalami musim kemarau serius antara 2025 dan 2030 akibat fenomena El Nino, dan diikuti banjir yang lebih kerap antara tahun 2030 dan 2035 selaras dengan kemunculan La Nina, menurut kajian.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Ir Dr Nasir Md Noh berkata, perubahan iklim yang agak ekstrem ketika itu turut melibatkan negeri-negeri lain, namun Terengganu dijangka mengalaminya dalam tempoh lebih panjang.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada hasil kajian ramalan yang dijalankan bersama dengan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), yang dihasilkan dengan menggunakan kaedah ‘big data’ yang mampu meramal perubahan iklim antara 90 dan 100 tahun akan datang.

“Ini adalah ramalan hasil laporan penilaian yang dibuat oleh Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC).

“Bagi Nahrim pula, tindakan yang dibuat ialah memaklumkan perkara ini kepada Kementerian (Alam Sekitar dan Air) serta operator bekalan air untuk membuat persediaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

MoU itu telah ditandatangani pada 2 Nov lepas secara maya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang berkuatkuasa ketika itu.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata MoU itu akan merancakkan lagi penyelidikan universiti serta perkongsian kepakaran industri dalam beberapa projek penyelidikan jangka panjang yang berskala besar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button