DuniaUncategorized

Filipina hanya buka sekolah selepas ada vaksin COVID-19

Risiko jangkitan tinggi, mustahil pelajar buat penjarakan sosial

MANILA, 4 Syawal 1441H, Rabu – Presiden Filipina Rodrigo Duterte menegaskan bahawa negara itu tidak akan membuka sesi persekolahan sehingga vaksin COVID-19 ditemukan.

Dalam satu ucapan semalam, beliau berkata, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah hanya akan mendatangkan bahaya tanpa sebarang vaksin.

Duterte berkata, risiko pelajar untuk dijangkiti wabak itu terlalu besar sekiranya sesi persekolahan dibuka.

“Saya tidak akan membenarkan pembukaan sesi persekolahan di mana jarak para pelajar akan berdekatan antara satu sama lain.

“Kecuali saya yakin bahawa keadaan benar-benar selamat. Sekarang tiada gunanya untuk bercakap mengenai pembukaan sekolah,” katanya.

Sekolah dijadualkan akan dibuka semula pada akhir bulan Ogos setelah ia ditutup pada Mac lalu, memberi kesan kepada kira-kira 25 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.

Ketika ini, dunia masih belum menemukan sebarang vaksin dan rawatan bagi menyembuhkan COVID-19.

Pakar penyakit berjangkit dari Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins Universiti, Amesh Adalja berkata, wabak berkenaan akan terus menular sehingga vaksin ditemukan.

“Kita akan mengalami gelombang kedua dan ketiga jika tiada vaksin,” katanya.

Setakat ini, Jabatan Kesihatan Filpina mengesahkan sebanyak 14,319 kes COVID-19 termasuk 873 kematian di negara itu. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button