Berita UtamaIstimewaPendapat

Kerajaan perlu cari jalan haramkan penjualan arak

Perlukah tunggu wakil rakyat kemalangan baru ambil tindakan?

KES-KES pemandu mabuk yang kita baca di media-media sebegini memang menyakitkan hati dan menimbulkan amarah.

Lebih-lebih lagi apabila menyebabkan kematian pengguna jalanraya lain yang tidak bersalah.

Saya masih ingat lagi peristiwa Allahyarham Korporal Safwan yang meninggal dunia kerana dirempuh pemandu mabuk, ketika beliau menjalankan tugasnya sebagai anggota polis di tengah-tengah pagi buta, tatkala musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Peristiwa-peristiwa sebegini berulang lagi ketika bulan Ramada,n sehinggalah sewaktu kita menyambut Syawal dan ianya sangat mengecewakan kita kerana seolah-olah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tidak berkesan, untuk menghalang manusia-manusia durjana yang tidak bertanggungjawab sebegini untuk terus mabuk dan memandu.

Saya yakin, apa yang bermain di fikiran masyarakat ialah apakah hukuman yang sedia ada tidak cukup berat dan menggerunkan manusia dari melakukannya?

Atau lebih teruk lagi apabila masyarakat sendiri tidak yakin dengan undang-undang yang sedia ada dan akhirnya mengambil jalan untuk mengambil tindakan sendiri di luar jangkaan kita?

Saya sangat bimbang akan perkara ini.

Saya merasakan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang drastik secara holistic, untuk menyelesaikan isu ini kerana kita tidak mahu lebih banyak nyawa yang tidak bersalah dipertaruhkan lagi.

Saya lebih risau kerana tidak mustahil peristiwa berdarah sebegini boleh berlaku pada ahli keluarga kita sendiri.

Atau adakah kita perlu tunggu apabila tragedi sebegini berlaku kepada menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan orang kenamaan baru tindakan drastik mahu diambil?

Banyak langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dan sebenarnya sudah banyak dibincangkan dan disuarakan oleh rakyat marhaen di dalam pelbagai sesi diskusi, wacana, penulisan-penulisan dan pelbagai platform lain.

Namun, masih tidak ada penambahbaikan yang diambil oleh pihak kerajaan.

Antara langkah mudah yang kerajaan boleh lakukan dalam masa yang singkat ini ialah mengawal ketat premis penjualan arak kepada umum secara terbuka.

Contohnya, haramkan terus penjualan arak di tempat terbuka seperti pasaraya, kedai-kedai runcit dan seumpamanya untuk sekurang-kurangnya di kawasan majoriti penduduk muslim.

Malah, lebih baik jika diharamkan terus penjualan secara terbuka supaya arak ini tidak mudah didapati dan secara perlahan-lahan mengurangkan kadar peminuman arak dalam masyarakat ke arah sifar peminum alkohol dalam masyarakat.

Seterusnya, kita mendesak supaya undang-undang sedia ada ini dipinda dari segi hukuman-hukuman yang dikenakan atas pesalah, penguatkuasaan serta peraturan-peraturan yang berkenaan peminum dan industri arak ini secara keseluruhannya.

Insya-Allah, segala cadangan khususnya dari segi undang-undang ini akan kami perhalusi dan bentangkan kepada masyarakat dan pihak kerajaan sendiri.

Saya menyeru supaya rakyat dari semua latarbelakang untuk bangkit menyuarakan kekesalan kita di platform, ruang lingkup dan kemampuan masing-masing supaya pihak kerajaan memandang serius akan perkara ini.

Ingatlah, ini bukan permainan politik kerana ini adalah isu kita bersama yang akan menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Insya-Allah, kami, badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO) Islam akan memperjuangkan isu ini habis-habisan demi kepentingan kita bersama.

Ayuh kita perangi gejala arak ini bersama-sama!

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lelaki-maut-dilanggar-pemandu-mabuk-melawan-arus-di-kuantan-244329

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close