Berita Utama

9 tuntutan NGO-NGO Islam kepada kerajaan dalam isu arak

Batalkan lesen pemandu mabuk terbabit kemalangan atau tidak

BANGI, 5 Syawal 1441H, Khamis – Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas secara holistik bagi membendung gejala pemandu mabuk melalui tindakan pendidikan, perundangan dan hukuman yang setimpal.

Pengerusinya Haji Aminuddin Yahaya berkata, PEMBELA sangat khuatir dengan beberapa insiden yang dilaporkan baru-baru ini berkaitan pemandu mabuk yang memandu kenderaan dan melanggar orang lain sehingga menyebabkan kematian termasuklah kematian anggota keselamatan negara.

Katanya, perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan ini juga tidak sejajar dengan nilai dan norma lazim di Malaysia, serta tidak berpaksi kepada budaya leluhur dalam negara ini.

“Justeru PEMBELA mendesak kerajaan supaya melipatgandakan usaha untuk memberi makluman kepada umum mengenai bahaya meminum arak dan mabuk di khalayak awam.

“Kerajaan juga perlu mengawal premis penjualan minuman memabukkan secara ketat dan menghadkan lesen penjualan tersebut diberikan dengan jumlah yang tertentu sahaja berdasarkan bilangan penduduk dewasa bukan Islam di sesuatu tempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin yang juga Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut menggesa kerajaan meminda undang-undang dan peraturan bagi premis yang menyediakan minuman memabukkan seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain.

Katanya, pihak pengurusan bertanggungjawab memastikan pelanggan tidak keluar dari premis dalam keadaan mabuk.

“Jika pelanggan mabuk mereka bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perniagaan mereka turut dipertanggungjawab bersama.

“Seterusnya, menggubal hukuman yang lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu mabuk tanpa mengira sama ada mereka terbabit dalam kemalangan atau tidak.

“Menggubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan atau kematian dikenakan tindakan ganti rugi bagi membaiki kerosakan awam, membayar mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang maut,” kata beliau.

PEMBELA turut menyarankan supaya kerajaan membatalkan lesen memandu pemandu yang didapati mabuk ketika memandu sama ada terbabit dalam kemalangan atau tidak; menghadkan meminum minuman keras di premis persendirian sahaja bagi bukan Islam dan dilarang secara keras kepada umat Islam.

“Selain itu, mengadakan program wajib bagi pemandu mabuk dilarang meminum minuman keras dalam tempoh waktu yang panjang dan diuji secara berkala.

“PEMBELA ingin kerajaan mengambil langkah lebih tegas membanteras gejala memandu ketika mabuk dan mendesak kerajaan mengambil tindakan yang dinyatakan bagi mengekang gejala itu yang sudah meragut banyak nyawa,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk. 3 Mei lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Pada 22 Mei, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Terbaharu pekerja Alam Flora, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas terbabit kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk di Jalan Kuantan-Gebeng berdekatan Kampung Bukit Rangin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button