Berita UtamaDunia

Arab Saudi benar solat Jumaat di masjid mulai 31 Mei, kecuali Makkah

Perintah berkurung dikurang kepada 15 jam, 3 petang hingga 6 pagi

MAKKAH, 5 Syawal 1441H, Khamis – Arab Saudi akan membenarkan masjid dibuka untuk solat Jumaat, TV negeri melaporkan ketika kerajaan mengurangi sekatan pergerakan bagi mengekang penyebaran coronavirus.

“Masjid dibenarkan dibuka 20 minit sebelum solat Jumaat dan akan ditutup 20 minit setelah selesai,” kata TV negeri di Twitter memetik Kementerian Hal Ehwal Islam.

Pihak berkuasa Arab Saudi pada Isnin berkata, sekatan akan ditarik dalam tiga fasa yang berakhir dengan perintah berkurung – kecuali kota suci Makkah – bermula 21 Jun.

Solat juga akan dibenarkan untuk dilaksanakan di semua masjid di luar Makkah mulai 31 Mei, kata Kementerian Dalam Negeri dalam beberapa langkah yang diumumkan di media negeri.

Fasa pertama, bermula pada Khamis, perintah berkurung 24 jam dikurangkan menjadi 15 jam – 3 petang hingga 6 pagi – di seluruh negara.

Pergerakan bebas antara wilayah dan beberapa aktiviti runcit dan borong, termasuk pusat membeli-belah akan dibenarkan untuk disambung semula.

Arab Saudi mengenakan perintah berkurung 24 jam di kebanyakan bandar, tetapi mengurangkannya pada awal bulan puasa. Perintah berkurung 24 jam dilaksanakan semula ketika cuti Aidilfitri selama lima hari yang bermula pada hari Ahad.

Mulai 30 Mei, pergerakan bebas akan dibenarkan antara jam 6 pagi hingga 8 malam, lapor Saudi Press Agency.

Penerbangan domestik akan dibenarkan untuk beroperasi semula, namun larangan penerbangan antarabangsa tetap ada.

Kakitangan sektor awam dan swasta akan dibenarkan kembali ke pejabat mereka. Perhimpunan sosial lebih daripada 50 orang masih dilarang termasuk majlis perkahwinan dan pengebumian.

Rakyat akan diminta memakai topeng muka di tempat awam dan meneruskan langkah-langkah kebersihan dan jarak sosial selepas 21 Jun. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button