Berita Utama

Tindakan bakar, khianat kerana beza ideologi politik tak boleh diterima

Elakkan buat spekulasi, ganggu siasatan pihak berkuasa

BANGI, 28 Jamadilakhir 1445H, Rabu – Tindakan membakar dan mengkhianati harta individu lain adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima.

Demikian tegas Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari susulan serangan kebakaran yang berlaku di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Mengutuk kejadian itu, Ahmad Fadhli berkata, perbezaan politik tidak seharusnya membawa kepada tindakan keganasan.

“Pagi tadi tersebar berita bahawa berlaku kebakaran rumah Ahli Parlimen Berus, Ngeh Koo Ham yang dikatakan dilakukan oleh seorang individu tidak dikenali sekitar jam 2.50 pagi. Kita rakamkan takziah kepada beliau atas musibah yang dialami. 

“Walau apapun perbezaan yang berlaku di dalam politik, tindakan membakar dan mengkhianati harta individu lain apalagi melibatkan risiko kehilangan nayawa adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. 

Beliau berkata, kejadian tragis itu harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat, dan orang ramai tidak perlu membuat spekulasi mengenainya.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan menurut undang-undang yang sedia ada. Semua pihak dinasihatkan tidak membuat apa-apa spekulasi yang boleh menggangu siasatan pihak berkuasa,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Tiga buah kereta rosak apabila bom molotov dicampak ke dalam perkarangan rumah Ngeh yang terletak di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button