Berita UtamaIstimewa

Ini masanya kerajaan bawa usul haram penjualan arak ke Parlimen

'Rakyat akan lihat siapa pembela, MP mana yang jadi petualang'

BANGI, 5 Syawal 1441H, Khamis – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mengajak rakyat bersama-sama mendesak Ahli Parlimen menyuarakan sokongan mereka terhadap agenda melumpuhkan industri arak.

Gesaan itu disuarakan selepas Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii secara sinis mengkritik saranan penggantungan penjualan arak berikutan kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi.

Haji Aminuddin menyifatkan, tindakan Ahli Parlimen yang membantah cadangan penggantungan penjualan arak akan menjadi penghalang terbesar dalam usaha rakyat untuk menghapuskan industri itu.

“Bayangkan jika kerajaan benar-benar mahu menghentikan penjualan arak dan akhirnya mengharamkan terus industri ini? Tidakkah mereka ini juga akan bangkit beramai-ramai untuk menentangnya?

“Lebih parah lagi apabila penentangan ini datangnya dari Ahli Parlimen yang tugasnya menjadi penggubal undang-undang Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kelvin secara sinis mencadangkan supaya penjualan kereta dihentikan kerana ia boleh menyebabkan kemalangan.

Beliau turut menyarankan supaya penjualan motosikal, basikal, rokok dan gula dihentikan kerana ia boleh menyebabkan isu Mat Rempit, basikal lajak, kanser dan kencing manis.

Tidak berniat mahu mengulas secara terperinci mengenai hujah kebudak-budakan Kelvin, Haji Aminuddin berkata, inilah masanya untuk pihak kerajaan cuba membawa cadangan bagi mengharamkan penjualan arak ataupun bagi membasmi industri ini di peringkat Parlimen.

“Kita mahu lihat, siapakah yang akan menjadi pembela dan benteng kepada industri arak ini. Dan kita juga mahu lihat, Ahli Parlimen beragama Islam manakah yang akan menjadi petualangnya. Jika kerajaan berjaya melumpuhkan industri ini, Alhamdulillah.

“Tetapi jika kerajaan gagal sekurang-kurangnya kerajaan sudah cuba melaksanakan tanggungjawabnya dan Insya-Allah terlepas dari disoal oleh Allah kelak,” katanya.

Kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk kerap berlaku. Terbaru seorang kakitangan Alam Flora maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, Kuantan.

Mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Terdahulu, dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close