Berita Utama

Kait arak dengan sekolah tahfiz, pemikiran liberal-sekular Siti Kasim sangat bahaya

Kenyataan biadab, prejudis terhadap instutisi agama

BANGI, 5 Syawal 1441H, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap aktivis liberal, Siti Kasim yang terang-terangan menghina institusi agama dan menghasut masyarakat awam agar memandang negatif terhadap institusi itu.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menerusi satu kenyataan menegaskan, kenyatan Siti Kasim amat keterlaluan dan menyerlahkan sifat antiagamanya apabila mengaitkan arak dengan sekolah tahfiz.

“Tindakan beliau meminta pengharaman sekolah tahfiz dahulu sebelum pengharaman arak adalah tidak munasabah dan diterima akal kerana konteks perbahasan yang berbeza.

“Islam jelas mengharamkan arak dan memberi kelonggaran kepada penganut bukan Islam meminumnya. Namun apabila melibatkan kepentingan awam dan mudaratnya dari sudut kesihatan, ekonomi dan sosial maka perlu penguatkuasaan yang tegas dari pihak berkuasa,” tegasnya.

Ustaz Azizee menyifatkan kenyataan Siti Kasim juga amat biadab, melampau dan bersifat penghinaan ke atas agama Islam dan institusinya.

“Jelas Siti Kassim membenci institusi sekolah agama sehingga menyamakan mudarat arak dengan kelemahan pengurusan sekolah tahfiz.

“iGuru ingin menegaskan pemikiran sekular liberalis Siti Kasim amat bahaya dan merosakkan generasi pelajar. Ia adalah pemikiran ekstrem yang penuh dengan sentimen kebencian, penghinaan dan prejudis terhadap agama dan instutisi pendidikan Islam.

“iGuru tegas menolak pemikiran yang menggugat keharmonian masyarakat awam dan tetap mempertahankan kedudukan sekolah-sekolah tahfiz sama ada kerajaan atau swasta sebagai salah satu institusi pendidikan yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Siti Kasim kembali mencetuskan kontroversi ketika menyentuh mengenai isu pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

Peguam itu membangkang cadangan untuk mengantung penjualan arak ekoran peningkatan kes yang membabitkan pemandu mabuk.

Dia berkata, peningkatan kes itu disebabkan sikap tidak bertanggungjawab mereka yang mengambil minuman berakohol itu.

“Alkohol itu bukan masalah. Tapi peminum yang tidak bertanggungjawab itulah punca masalah sebenar. Begitu juga dengan isu yang melibatkan sekolah tahfiz. Masalahnya adalah disebabkan oleh pihak pengurusan sekolah.

“Kamu (PAS) mahu mengharamkan alkohol hanya kerana menepati kehendak anda, kalau begitu haramkan juga sekolah tahfiz yang telah menyebabkan banyak masalah terhadap anak kecil yang tidak berdosa,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close