Berita Utama

Kedah wajar tumpu sumber pendapatan lain selain konsensi balak

Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang patut bantu Kedah

BANGI, 5 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan Kedah wajar melihat semula isu kebergantungan pendapatan negeri kepada royalti dan ses industri pembalakan, saran Pengerusi Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM), Dr Kamil A Tohiran.

Beliau berkata, isu pembalakan di negeri itu kian meruncing kerana kawasan hutan di Kedah adalah pada tahap yang agak rendah iaitu anggaran hanya 38 peratus (351,471 hektar) berbanding keluasan keseluruhan negeri.

“Keadaan ini agak jauh berbanding komitmen Malaysia untuk kekal sebagai negara yang mempertahankan kawasan hutan 50 peratus seperti yang termeterai dalam Perjanjian Alam Sekitar di Paris 2015.

“Aktiviti pembalakan tidak wajar dijalankan melainkan di kawasan hutan yang telah digazetkan sebagai hutan produksi. Penjanaan pendapatan daripada industri perkayuan melalui kawasan sebegini adalah lebih lestari.

“Hutan Ulu Muda yang kaya dengan flora dan fauna akan tinggal sejarah jika keputusan mengekalkannya sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air dirombak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Kamil turut berpendirian bahawa Kerajaan Persekutuan perlu mengiktiraf sumbangan kerajaan negeri sebagai jelapang padi atau “periuk nasi” Malaysia melalui inisitif cukai baru yang kreatif bagi menampung kehilangan potensi pendapatan bagi Negeri Kedah dari aktiviti pembalakan.

Beliau menjelaskan, pendekatan ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kerajaan negeri kepada sumber pembalakan yang kian meruncing.

“Belanjawan negeri yang sering defisit adalah indikator kerungsingan ini. Keengganan Kerajaan Pusat mempertimbangkan pendekatan ini akan meningkatkan kebarangkalian penukaran guna tanah pertanian khususnya tanaman padi kepada sekor yang memberi pulangan lebih tinggi contohnya perindustrian dan hartanah.

“Juga pembukaan kawasan pembalakan baru dan penukaran status tanah pertanian. Kesannya, keselamatan makanan negara dan bekalan air bersih akan jadi taruhan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sektor komoditi Malaysia terutamanya industri sawit menanggung beban buruk natijah pembukaan hutan dara kerana bukaan kawasan hutan sering dikaitkan dengan aktiviti peluasan kawasan tanaman komoditi seperti tanaman sawit.

“Namun realitinya, sering kali industri ini menjadi mangsa keadaan. Tanpa perancangan yang rapi terhadap aktiviti pasca pembalakan, sering kali pihak yang terbabit menjalankan aktiviti penanaman sawit berbanding penanaman semula balak seperti yang sepatutnya.

“Penukaran guna tanah secara tidak langsung ini, sering digunakan oleh pihak berkepentingan luar negara untuk melabel sektor komoditi negara contohnya minyak sawit sebagai punca aktiviti penyahutanan di Malaysia,” katanya.

Selain itu katanya, Kerajaan Pulau Pinang pernah menyatakan komitmen untuk turut mengalas tanggungjawab menanggung implikasi kewangan akibat pewartaan ini pada tahun 2018.

“Ia adalah amat wajar kerana rakyat Pulau Pinang mendapat manfaat besar dalam bentuk jaminan bekalan sumber air mentah yang bersih,” katanya.

Pada masa sama, fokus harus diberikan kepada aktiviti pembangunan semula hutan.

Penjanaan pendapatan daripada industri perkayuan melalui kawasan sebegini adalah lebih lestari kerana keperluan infrastrukturnya dapat dirancang lebih awal. Impak positif seperti pengurangan pencemaran dan kerosakan alam sekitar adalah sesuatu yang boleh diharapkan.

“SALAM bimbang jika isu ini gagal diuruskan sebaik-baiknya imej kerajaan Kedah yang baharu dibentuk, terutamanya oleh dominasi PAS mungkin akan tercalar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close