Krisis memuncak, 25,000 keluarga di Yaman tidak lagi terima bantuan
UNHCR gesa masyarakat antarabangsa hulur bantuan

SAN’A, 5 Syawal 1441H, Khamis – Seramai 25,000 keluarga di Yaman tidak lagi akan menerima bantuan kemanusiaan pada bulan hadapan berikutan kekurangan dana.
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Shabia Mantoo menegaskan, peperangan di negara itu perlu dihentikan kerana ia mengekang pengumpulan dana, sekali gus menghentikan program kemanusiaan.
Mantoo turut menyeru kerjasama masyarakat antarabangsa bagi membantu warga Yaman untuk mendapatkan tempat perlindungan dan keperluan asas.
April lalu, UNHCR memberi amaran bahawa bantuan ke atas sejuta rakyat Yaman yang cedera akibat peperangan kemungkinan akan terjejas akibat kekurangan dana.
Sebanyak AS$89.4 juta diperlukan bagi meneruskan program kemanusiaan di negara yang dilanda perang itu.
Perang di Yaman telah mengakibatkan hampir 80 peratus penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan, selain mendorong jutaan rakyatnya ke ambang kebuluran. -Agensi