Berita Utama

Pemandu mabuk 13 kali lebih berisiko sebabkan kemalangan

Jika Taiwan peruntuk hukuman mati, Malaysia patut lebih serius

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding mereka yang bebas daripadanya.

Ketua Perhubungan Negeri (KPN) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pengambilan setin minuman keras yang mengandungi lima peratus alkohol pun sudah mampu memberi kesan kepada kestabilan fikiran dan kewarasan individu ketika memandu.

Bahkan, setin minuman keras itu juga sering menjadi punca kemalangan maut, kata Ustaz Khoushaini.

Laporan MIROS itu turut diperkukuhkan lagi dengan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan sebanyak 637 kematian sepanjang tempoh lima tahun iaitu dari 2014 hingga 2018, berpunca daripada kemalangan membabitkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI). 

“Arak adalah kunci segala kejahatan (HR al-Hakim) manakala Uthman al-Affan berkata, arak menjadi punca segala kerosakan dan kemungkaran (HR al-Nasaie). 

“Apabila akal rosak, seseorang manusia itu akan cenderung melakukan kejahatan yang lain seperti membunuh, merogol dan mencuri. Bahkan, arak juga meruntuhkan institusi keluarga serta membawa mudarat kepada masyarakat dan negara. 

“Kerana itulah kita melihat kebanyakan agama lain juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka kerana kesan dan akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada manusia. Kemudaratan hendaklah disingkirkan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ustaz Khoushaini berkata, walaupun industri arak menyumbang RM2.2 billion kepada pendapatan negara, namun perlu diingat kerajaan telah memperuntukkan RM3 billion daripada bajet RM30 bilion untuk Kementerian Kesihatan (KKM) bagi merawat kes-kes kronik termasuk penyakit yang disebabkan oleh penggunaan alkohol. 

“Bagaimana pula nilai ratusan nyawa yang tidak berdosa? Kita wajib menyelesaikan isu arak ini daripada akarnya kerana telah meragut ramai nyawa manusia. 

“Jika negara bukan Islam seperti Taiwan memperuntukkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, maka Malaysia sebagai negara Islam sepatutnya lebih serius,” katanya.

Justeru, ISMA Melaka menggesa kerajaan PN yang didukung oleh majoriti umat Islam negara ini bertindak lebih tegas.

“Haramkan terus kejahatan arak ini, agar rakyat dapat hidup bahagia, aman dan sentosa.

“Walau apapun penjelasan yang diberikan, kehilangan satu nyawa yang tidak berdosa tetap tidak boleh dimaafkan. Islam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. 

“Islam menjaga akal maka diharamkan arak yang merosakkannya seperti firman Allah swt dalam surah al-Maidah ayat 90,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button