Berita Utama

Suspek perlekeh kebenaran solat Jumaat dijangka dituduh 1 Jun

Tindakan berkenaan hina Islam, ingkari perintah Sultan Johor

KULAI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Seorang lelaki yang dipercayai memuat naik kenyataan tular di Facebook, memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di negeri ini dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Kulai pada 1 Jun.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata pihaknya telah mendapat keputusan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pengesahan milik akaun Facebook berkenaan.

“Semalam, keputusan MCMC telah diperoleh dan kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Ahad ini untuk arahan lanjut.

“Kemungkinan besar suspek akan dituduh pada Isnin (1 Jun) di Mahkamah Majistret Kulai dan perkara ini akan dikemas kini pada Ahad nanti,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Mei lepas, suspek warga tempatan dan berumur 45 tahun itu telah menyerah diri manakala telefon bimbit miliknya turut diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Menurut Tok, suspek juga dibebaskan dengan jaminan polis setelah menjalani tempoh reman selama tiga hari bermula 20 Mei.

Pada 16 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi membuat laporan polis berhubung satu kenyataan tular yang dimuat naik seorang individu di laman Facebook yang memperlekehkan kebenaran 12 jemaah menunaikan solat Jumaat di negeri ini.

Kenyataan itu dipercayai dimuat naik oleh individu berkenaan pada 13 Mei lepas.

Tosrin berkata tindakan individu terbabit menghina kesucian agama Islam dan mengingkari perintah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kerajaan negeri Johor pada 13 Mei lepas mengumumkan hanya 12 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di setiap masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button