Berita Utama

3 warga Rohingya pecah rumah ditahan

Suspek dipercayai terbabit dalam 15 kes pecah rumah di Bandar Putra

KULAI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Polis menahan tiga warga Rohingya kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah sekitar daerah itu, sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, mereka dipercayai saki baki ‘Geng Tailong’ yang telah ditahan pada bulan lalu.

Beliau berkata, suspek yang berusia antara 27 hingga 30 tahun itu ditahan hasil enam serbuan sekitar Kulai dan Johor Bahru, kelmarin.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam 15 kes pecah rumah di sekitar kawasan Bandar Putra, di sini.

“Modus operandi mereka menggunakan kereta Myvi hitam, panjat pagar dan mengumpil pintu untuk mencuri barang. Geng ini turut menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni bagi menjalankan kegiatan mereka.

“Kita percaya mereka ini ada kaitan dan saki baki Geng Tailong yang dianggotai warga Rohingya yang ditahan pada bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini, hari ini.

Dalam serbuan Rabu lalu, BH Online melaporkan, pelbagai barangan dirampas termasuk barang kemas, komputer riba, jam tangan dan bag tangan selain sebuah kereta Perodua Myvi serta motosikal jenis Yamaha yang dianggarkan berjumlah RM80,000.

Pada masa sama, Beng Yeow berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan penjenayah yang masih bebas iaitu tiga lelaki warga Rohingya yang dikenali dengan nama Rahman, Hassan dan Baya, lingkungan usia 20-an.

“Kita percaya geng terbabit sudah lama menetap di negara ini kerana mereka fasih berbahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman telah dibuat terhadap tiga suspek dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula 28 Mei hingga 3 Jun depan.

“Kita meminta orang ramai yang rumah mereka ada terjadi unsur pecah rumah sila ke Balai Polis untuk membuat laporan. Saya percaya ada penghuni yang menjadi mangsa pecah rumah tetapi belum pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua jika sabit kesalahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button