Berita Utama

99 peratus setuju laksana hukuman mati terhadap pemandu mabuk

Keputusan undian diserahkan pada PM dalam sidang Parlimen

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Sebanyak 99 peratus daripada hampir 10,000 responden yang menyertai tinjauan pendapat di Facebook, bersetuju cadangan hukuman gantung sampai mati dilaksanakan kepada individu yang memandu secara berbahaya dan mabuk hingga menyebabkan kematian.

Manakala, hanya satu peratus sahaja responden dari kaji selidik secara dalam talian di Facebook Cikgu Izzat Johari tidak bersetuju dengan cadangan hukuman berkenaan.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati, seramai 9,900 responden bersetuju akan pelaksanaan tersebut manakala hanya 72 responden tidak memiliki pandangan yang sama.

“Kepada semua rakyat Malaysia, adakah anda setuju cadangan hukuman kepada pemandu mabuk seperti berikut?

 

“Bagi yang mengakibatkan kematian, hukumannya gantung sampai mati. Manakala bagi yang mengakibatkan kerosakan atau kecacatan, hukumannya penjara lima tahun dan lima sebatan, lucut lesen memandu seumur hidup, bayar ganti rugi semua kerosakan dan bayar pampasan atas kecacatan mangsa.

“Kita cakap, kita buat. Kalau bukan kita lakukan perubahan, siapa lagi?,” kata Cikgu Izzat.

Cikgu Izzat dalam laman Facebooknya berkata, keputusan undian itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen akan datang.

Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia menyaksikan beberapa lagi kejadian menyayat hati membabitkan pemandu mabuk dan insiden terbaharu ialah seorang pemandu yang dipercayai mabuk ketika memandu secara melawan arus dan merempuh kereta seorang kakitangan Alam Flora di Jalan Pintasan Kuantan, Kuantan, 3 Syawal lalu.

Akhir Ramadan lalu pula, pemilik kenderaan pacuan empat roda dilaporkan memandu secara berbahaya dan mabuk di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera.

Pada 3 Mei lalu, seorang anggota polis Koperal Safwan Muhammad Ismail yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button