Berita Utama

ADUN Selat Klang dikompaun RM1,000 ingkar SOP PKPB

Anjur jamuan dihadiri lebih 20 tetamu semasa sambutan Aidilfitri

SHAH ALAM, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Selangor Datuk Abdul Rashid Asari dikompaun RM1,000 kerana menganjurkan jamuan dihadiri lebih 20 tetamu semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata arahan mengenakan kompaun itu dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya hari ini selepas Abdul Rashid didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

“Kita terima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk mengkompaun beliau (Abdul Rashid) selaku penganjur jamuan sambutan Aidilfitri berkenaan.

“Polis akan menghubungi Abdul Rashid untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi dikeluarkan surat kompaun itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Baharudin, berdasarkan siasatan dijalankan tetamu yang hadir ke kediaman rasmi exco di Seksyen 7 di sini semasa sambutan Aidilfitri itu adalah penyokong Abdul Rashid.

Beliau berkata ADUN itu yang juga Pengerusi Bersatu Selangor bagaimanapun tidak menyangka jumlah kehadiran tetamu melebihi jemputan dikeluarkan.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 6) 2020.

Pada Rabu lepas, tular di media sosial foto memaparkan Abdul Rashid bersama-sama individu melebihi 20 orang di luar sebuah rumah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close