Pendapat

Arak yang rosak dari segala sudut

Minuman itu menjadi punca kepada lebih 200 jenis penyakit

1. DARI sudut agama, arak adalah minuman yang diharamkan oleh semua agama. Orang yang minum arak dan memperjuangkan industri arak ialah orang yang tidak berpegang teguh kepada agama atau berfahaman atheist

2. Dari sudut kesihatan, semua doktor pakar dan kajian yang tersohor menunjukkan arak mendatangkan kemudaratan yang amat teruk terhadap kesihatan manusia. Statistik menunjukkan arak merupakan punca utama lebih 200 jenis penyakit, kecederaan organ dalaman malah turut merupakan punca kanser. Contoh penyakit yang disebabkan oleh arak ialah penyakit hati, cardiovascular, pancreatitis, stomach bleeding, strok, kemurungan, kerosakan janin bagi ibu yang mengandung dan pelbagai jenis kanser. Ia turut menyebabkan cara hidup seks yang tidak sihat yang seterusnya menjadi punca kepada pelbagai penyakit kelamin yang serius (sexual transmitted diseases).

3. Dari sudut keselamatan pula, arak terkenal sebagai punca kemalangan dan kecelakaan. Data menunjukkan 60% punca kecederaan akibat kebakaran serius, kes lemas dan pembuhunan yang berlaku di seluruh dunia adalah disebabkan oleh arak. Manakala 50% punca kes-kes trauma yang kronik serta serangan seksual turut berpunca dari arak. Ia juga menyumbang turut kepada 40% dari keseluruhan kes kemalangan jalanraya, pembunuhan diri sendiri (suicide) serta kematian akibat jatuh di seluruh dunia.

4. Dari sudut politik dan undang-undang, isu-isu seperti undang-undang perkilangan, pengagihan dan penjualan arak, urusniaga import, umur minimum bagi pembelian serta kawalan harga sentiasa menjadi perdebatan hangat di banyak negara dunia. Selain itu, isu undang-undang yang sentiasa menjadi tumpuan juga ialah kadar maksimum ‘blood alcohol concentration’ (BAC) yang dibenarkan serta hukuman bagi setiap kesalahan berkaitan penyalahgunaan alkohol. Secara kesimpulan, arak banyak menyebabkan pertikaian politik dan undang-undang yang tidak perlu dan amat menyusahkan.

5. Dari sudut ekonomi, arak sememangnya memberikan pendapatan negara dalam bentuk keuntungan dari eksport (bagi sesetengah negara), cukai dan menjana sektor ekonomi secara umum. Namun, kos yang terpaksa ditanggung akibat pelbagai kerosakan sebenarnya jauh lebih tinggi dan merugikan semua pihak. Sebagai contoh, Amerika Syarikat mencatatkan jumlah purata kematian 100,000 orang setahun akibat penyakit dan kemalangan yang disebabkan oleh arak. Berapakah harga satu nyawa? Anda cuba kira dan darabkan dengan 100,000 nyawa. Itu baru di Amerika Syarikat, bagaimana pula negara-negara lain di seluruh dunia? Itu belum dikira pelbagai kerugian ekonomi lain yang sukar dikira (intangible) seperti kos ketidakhadiran ke tempat kerja, penurunan produktiviti, social security, rawatan kesihatan (healthcare), kecacatan kekal, pengurusan banduan serta kerosakan harta benda akibat kemalangan. Jumlah ini jika dikira mungkin berjumlah ratusan billion dan mengatasi sedikit manfaat ekonomi yang dinikmati negara.

6. Dari sudut sosial, arak terbukti membawa pelbagai jenis masalah sosial yang serius seperti peningkatan kes-kes kerosakan akhlak remaja, perjudian, pelacuran, jenayah seksual, mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi, keganasan rumahtangga serta pelbagai jenis jenayah berat yang lain. Ini disebabkan orang yang mabuk akan bertindak tanpa rasional, penuh keganasan, agresif serta membahayakan diri sendiri dan orang lain. Keharmonian rumahtangga dan tumbesaran psikologi anak-anak juga pastinya akan terjejas. Ketagihan arak merupakan salah satu faktor utama keganasan domestik yang seterusnya membawa kepada perceraian. Lebih kronik apabila tempiasnya juga terkesan kepada anak-anak yang akan menyebabkan kemurungan, kurang kasih sayang ibu bapa, kecederaan fizikal serta prestasi pembelajaran yang merudum. Malah kajian menunjukkan anak-anak kepada para pemabuk ini turut berhadapan dengan masalah kehidupan berkaitan arak apabila mereka dewasa nanti.

Jauhilah arak!

Selamatkan Malaysia daripada kemusnahan akibat arak!

Kluster Tarbiyah ISMA
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close