Berita Utama

COVID-19: Ujian saringan kontak rapat Ketua Audit Negara negatif

34 pegawai JAN jalani kuarantin di rumah selama 14 hari

PUTRAJAYA, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Keputusan ujian saringan COVID-19 ke atas semua kontak sangat rapat dan kontak rapat, kepada Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang dijalankan pada 22 Mei, adalah negatif.

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan hari ini menyatakan, kontak sangat rapat seramai 10 orang tersebut merujuk kepada dua ahli keluarga dan lapan kakitangan di Pejabat Ketua Audit Negara.

Semua keputusan ujian saringan terhadap 34 pegawai JAN yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada Ketua Audit Negara, termasuk tiga Timbalan Ketua Audit Negara juga negatif, kata jabatan itu.

“Bagaimanapun, berdasarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak COVID-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), semua pegawai itu perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” kata JAN mengenai status terkini kes COVID-19 di jabatan itu.

Mengenai keadaan kesihatan Nik Azman yang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sejak 21 Mei, JAN memaklumkan beliau telah menjalani dua ujian swab ketika dalam wad.

“Hasil kedua-dua ujian tersebut adalah negatif. Namun, berasaskan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau masih perlu dikuarantin di hospital untuk tempoh tertentu,” katanya.

Pada 23 Mei, JAN mengesahkan satu memo memaklumkan bahawa Ketua Audit Negara positif COVID-19 dan akan dikuarantin di hospital, yang tular, telah dikeluarkan oleh beliau sendiri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button