Berita Utama

Malaysia miliki kredibiliti haramkan arak: PEMBINA

Negara berhak zahirkan keislaman serta melarang kemungkaran

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Tiada kompromi dan toleransi perlu diberikan kepada arak bahkan ia sepatutnya diharamkan di negara ini kerana menjadi punca kemalangan jalan raya serta keruntuhan rumah tangga.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Naqib Zahid berkata, Malaysia mempunyai kredibiliti yang cukup untuk mengharamkan arak kerana merupakan sebuah negara Islam dan berhak untuk menzahirkan keislaman serta melarang kemungkaran.

“Ketahuilah bahawa pengambilan arak itu akan melibatkan risiko tinggi. Mereka akan memberi alasan ‘tidak mengapa, masih lagi di bawah kawalan’.

“Namun mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya tidak tahu pun apa tahap kawalan mereka. Mereka mungkin mengata ‘ala sikit sahaja, tidak akan ambil lebih’.

“Namun mereka tidak sedar yang mereka telah melebihi ‘sikit’ yang mereka janjikan. Ada juga sesetengah daripada mereka yang mengatakan ‘arak ini ada baiknya’. Namun, mereka tidak sedar lebih banyak padahnya mengambil arak berbanding kebaikan yang mereka sebutkan itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, arak juga bukan sahaja menjadi punca kepada kemalangan jalan raya, bahkan ada dilaporkan keganasan rumah tangga berlaku kerana pengaruhnya.

“Ada juga kes keruntuhan rumah tangga berpunca juga daripada pengaruh arak, malah lebih teruk lagi, ada juga jenayah bunuh berlaku kerana pengaruh minuman beralkohol itu.

“Sampai bila lagi kita perlu bertoleransi? Sampai bila lagi perlu kita menundukkan diri melihat keluarga mangsa menangisi mangsa akibat sikap tidak bertanggungjawab pemabuk arak? Sampai bila lagi perlu kita berdiam diri melihat arak merosakkan negara kita? Fikir-fikirkan sejenak,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk. 3 Mei lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Pada 22 Mei, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Terbaharu pekerja Alam Flora, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas terbabit kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk di Jalan Kuantan-Gebeng berdekatan Kampung Bukit Rangin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button