Berita Utama

PH layak dilabel penderhaka Agong

Ingat Tun M, PN tertubuh bukan kerana khianat tapi perbuatan sendiri

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Jika Pakatan Harapan (PH) melabelkan rakan sepolitik sebagai pengkhianat kerana menyertai Perikatan Nasional (PN), apa kurangnya mereka yang layak digelar sebagai penderhaka kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong agar menghormati kerajaan pilihan tuanku?

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menegaskan, tuanku dalam titah di Parlimen baru-baru ini, sudah memperjelaskan secara terperinci berkenaan kemelut politik yang tercetus angkara keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan secara tiba-tiba.

Malah, katanya, tuanku sendiri sudah memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk menarik keputusan itu tetapi tetap ditolak oleh bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Tetapi, sikap jijik mereka – PH ini ternyata menunjukkan keingkaran dan penderhakaan yang jelas terhadap baginda yang sudah memberi restu kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.

“Negara disajikan lagi dengan politik keji yang berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menderhakai titah dan restu Yang di-Pertuan Agong.

“Antara pemimpin yang berkomplot termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang apabila beliau disebut-sebut akan menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat untuk membawa 129 nama yang menyokong PH,” katanya dalam kenyataan.

Azwanddin berkata, laporan mengenai komplot Dr Mahathir membawa nama 129 Ahli Parlimen yang menyokong PH ternyata satu mainan persepsi untuk melemahkan semangat para Yang Berhormat menyokong Perikatan Nasional.

Tegasnya, Ahli Parlimen PN tidak perlu termakan dakyah penderhaka ini terutamanya apabila DAP memang terkenal dengan sikap antiraja.

“Jika benar Tun Mahathir mempunyai sokongan seramai itu, adalah wajar beliau tunggu Parlimen dibubarkan dan bertanding secara adil pada pilihan raya umum.

“Tun Mahathir perlu ingat bahawa Perikatan Nasional tertubuh bukan kerana berlakunya pengkhianatan atau menebuk atap, sebaliknya akibat perbuatan beliau sendiri yang meletak jawatan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Azwanddin menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan PDRM agar menyiasat kenyataan-kenyataan pemimpin PH yang cuba mengelirukan dan meresahkan rakyat berhubung akan berlakunya satu lagi kemelut politik.

“Malah, tindakan mereka ini juga jelas merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja kerana tidak menghormati dan akur kepada titah Agong.

“Tindakan mereka ini ternyata tidak matang dan tidak menjunjung titah baginda supaya menunjukkan kematangan politik yang positif untuk dicontohi oleh rakyat jelata.

“Cukup-cukuplah rakyat disajikan dengan isu politik keji dan jijik setiap hari kerana negara kita menghadapi isu yang lebih besar untuk memulihkan ekonomi negara susulan pandemik COVID-19. Semoga Allah terus melindungi institusi diraja kita dari golongan antiraja dan penderhaka,” katanya.

Terdahulu, wujud desas desus mengenai perubahan kerajaan sekali lagi berikutan dakwaan seorang penulis blog yang menyatakan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan yang mencukupi bagi membentuk kerajaan mengantikan Perikatan Nasional.

Berdasarkan dakwaan terbabit, PH kini mempunyai sokongan 129 Ahli Parlimen dan mereka akan memohon untuk mengahadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close