Berita Utama

Lupakan MA63, rangka perjanjian baharu bukan langkah tepat

MA63 adalah amat penting bagi Sabah dan Sarawak

KOTA KINABALU, 11 Safar 1443H, Sabtu – Merangka draf perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah suatu langkah tepat terutama untuk Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata ini kerana MA63 adalah amat penting bagi Sabah dan Sarawak kerana tanpa dokumen itu tiada rujukan dan asas untuk membincangkan isu yang akan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua negeri berkenaan.

Katanya semua pihak perlu memahami bahawa MA63 dan Akta Malaysia juga dibentangkan di peringkat Parlimen serta Dewan Undangan Negeri di Sabah dan Sarawak.

“Sudah tentu kita perlu membuat perjanjian baharu dengan Putrajaya tetapi ia mestilah berdasarkan MA63, katakan jika anda tidak berpuas hati dengan Perlembagaan Persekutuan, apa dokumen rujukan yang boleh digunakan untuk membahaskannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ongkili berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam yang menggesa pemimpin Sabah dan Sarawak berhenti membangkitkan MA63 sebaliknya merangka perjanjian baharu dengan Putrajaya yang akan menguntungkan kedua-dua negeri itu.

“Di peringkat Persekutuan mesti mempunyai sebuah perjanjian sebagai titik rujukan asas, oleh itu dalam hal ini jika tidak ada MA63 maka tiadalah titik rujukan asas,” kata presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button