Berita Utama

UMNO kekal teruskan pembelaan terhadap Najib

MKT UMNO merasakan Najib tidak dapat keadilan seawal proses perbicaraan

BANGI, 22 Rejab 1445H, Sabtu – UMNO akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam kenyataan hari ini berkata, usaha itu dibuat sesuai dengan laras undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.

“UMNO mengambil maklum mengenai keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut,” katanya.

MKT UMNO menegaskan, pembelaan terhadap Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

“Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan bersama-sama menjunjung semangat ini,” katanya.

Terdahulu, satu Mesyuarat Khas MKT UMNO diadakan susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin atasan parti.

Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button