Berita Utama

PKPB: Melaka mula benarkan solat Jumaat hari ini

Setiap masjid hanya dihadkan 40 orang jemaah sahaja

MELAKA, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Setelah lebih dua bulan, kerajaan negeri Melaka hari ini mula membenarkan solat Jumaat diadakan kembali di masjid serta surau sekitar negeri ini dengan jemaah dihadkan kepada 40 orang.

Tinjauan Bernama di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini dan Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini mendapati jemaah mengikuti peraturan ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antaranya mematuhi penjarakan sosial.

Kelihatan anggota polis dibantu petugas masjid mengawal keadaan di masjid itu dan turut kelihatan beberapa orang yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat terpaksa pulang hampa kerana jumlah jemaah telah memenuhi kuota 40 orang ditetapkan.

Menarik perhatian, khutbah bertajuk ‘Keistimewaan Bulan Syawal’ yang disampaikan imam bertugas Mohd Nur Alif Radani di Masjid Al-Azim yang menyebut tentang keistimewaan bulan itu dan turut memetik situasi terkini penularan pandemik COVID-19 serta PKPB.

Khutbah itu menyeru di sebalik kepayahan ketika menghadapi COVID-19, umat Islam seharusnya tidak berputus asa dan terus tabah menghadapinya dengan sentiasa berdoa mengharap keredhaan Allah.

Kerajaan negeri Melaka tidak membenarkan solat Jumaat diadakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas bagi mengekang penularan COVID-19.

Pada 15 Mei lepas, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dilaporkan berkata keputusan membenarkan semula solat Jumaat dicapai hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan jumlah 40 jemaah dibenarkan tertakluk kepada perkembangan semasa dan pertimbangan Majlis Keselamatan Negara.

Pembantu tadbir Mohd Noh Sahidin, 54, yang dipilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Alami berkata beliau telah mendaftar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu apabila mengetahui kerajaan negeri membenarkan solat itu.

“Bila dapat tahu dibenarkan pertengahan bulan ini, saya pergi ke masjid untuk tanya lebih lanjut dan saya diminta daftar. Alhamdulillah dapat, memang selalu solat Jumaat di sini kerana saya pun kerja di kawasan ini,” katanya yang bertugas di sebuah agensi kerajaan negeri di MITC di sini.

Penghantar barangan runcit, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 39, yang dipilih menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Redhuan di Semabok berkata beliau mendapat surat berwarna merah di rumahnya dua hari lepas yang memaklumkan dipilih menunaikan solat itu hari ini.

“Rasa sayu dan terharu di hati kerana kita di Melaka ini sudah dua bulan tidak berpeluang solat Jumaat. Debaran itu memang ada bila hendak bersiap untuk solat Jumaat tadi. Lebih bermakna hari ini juga ulang tahun kelahiran anak kedua saya Aisy Dilara,” kata bekas wartawan Harian Metro itu.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close