Berita Utama

‘Saya masih lagi pengerusi’: Tun M

Sifatkan pemecatan beliau di luar kebiasaan serta tidak sah

KUALA LUMPUR, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Jawatan Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada dalam perlembagaan parti dan tiada kuasa untuk memecat ahli, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemecatan beliau sebagai pengerusi parti dan empat lagi pemimpin parti semalam adalah satu perkara di luar kebiasaan dan menyifatkan keputusan itu tidak sah.

“(Jawatan) setiausaha kerja tiada dalam perlembagaan parti dan dia tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan. Dia cuma menjalankan tugas dan arahan tyang diberi oleh setiausaha.

“Tiba-tiba semalam saya dapat surat setiausaha kerja pecat saya, pengerusi boleh kena buang oleh setiausaha kerja,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Semalam, keahlian Dr Mahahthir dan empat pemimpin lagi dihentikan serta-merta kerana mereka menyertai blok pembangkang semasa sidang Parlimen baru-baru ini.

Empat lagi ialah Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar). Dr Mahathir merupakan Anggota Parlimen Langkawi

Mengulas lanjut, Dr Mahahtir berkata beliau juga telah membuat keputusan untuk melucutkan jawatan Muhammad Suhaimi sebagai setiausaha kerja Bersatu dan digantikan dengan Datuk Sazmi Miah berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai status jawatannya di parti itu, Dr Mahathir berkata beliau masih lagi pengerusi Bersatu yang sah.

“Saya masih pengerusi kerana apabila mereka cuba mengeluarkan saya, ia tidak sah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close