Berita Utama

Institusi pendidikan di Sabah, Selangor, KL, Putrajaya ditutup

Masing-masing ditutup sehingga 26, 27 Oktober depan

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1442H, Selasa – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di Sabah ditutup mulai hari ini, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ditutup mulai esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM itu termasuklah tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM akan ditutup hingga 27 Oktober manakala di Sabah hingga 26 Oktober.

“Di Sabah keputusan ini akan melibatkan 1,336 institusi dengan sejumlah 511,349 murid dan pelajar termasuk institusi yang telah ditutup di daerah-daerah yang dikenakan PKPB sebelum ini.

“Di Selangor pula akan melibatkan 1,088 institusi pendidikan dan sejumlah 935,984 murid dan pelajar termasuk sekolah-sekolah di mukim Klang dan Petaling, yang telah ditutup lebih awal, manakala di Kuala Lumpur melibatkan 344 institusi pendidikan serta 254,639 murid dan pelajar dan di Putrajaya melibatkan 29 institusi pendidikan dengan 31,917 murid dan pelajar,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan penutupan itu juga akan melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM yang mempunyai asrama dan sehubungan itu ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

“Murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa, atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan, akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh itu akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan. Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama semasa tempoh PKPB, mereka perlulah memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Menurut kenyataan itu surat yang dikeluarkan oleh pentadbir itu adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa, sekiranya ibu bapa perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama.

“Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh PKPB, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

“Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian. Justeru ini, pentadbir institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru atau pensyarah serta murid atau pelajar, melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah,” menurut kenyataan itu.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button