Berita Utama

Tak perlu pakai topeng jika joging, memandu sendirian

Pakai jika bergejala atau berada dalam persekitaran tumpuan awam

PUTRAJAYA, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Orang ramai tidak perlu memakai pelitup muka ketika melakukan aktiviti bersendirian, seperti berjoging atau memandu kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, keperluan memakai pelitup muka adalah apabila mereka bergejala dan berada persekitaran tumpuan awam.

“Keperluan pelitup muka adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19, jika berjoging di tempat yang tiada orang, tidak perlu pakai. Pastikan jarak dua hingga tiga meter dari orang lain.

“Memandu seorang diri juga tidak perlu memakai pelitup muka,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Katanya, pemakaian pelitup muka jenis N95 sehingga tiga hingga empat jam juga, boleh menyebabkan rimas.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, dua pelajar sekolah di China rebah dan mati, ketika masing-masing sedang memakai pelitup muka sewaktu menjalani ujian wajib larian, dalam latihan pendidikan jasmani.

Dilaporkan juga seorang lelaki di Amerika Syarikat yang memakai pelitup muka jenis N95, meninggal dunia akibat kemalangan susulan kekurangan oksigen.

Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan (KKM), meneliti cadangan semua pekerja asing berhenti kerja sementara waktu, buat saringan kesihatan dan disahkan bebas wabak itu, Dr Noor Hisham berkata cadangan itu tidak praktikal.

Katanya, kapasiti makmal ujian COVID-19 KKM tidak berkemampuan untuk menyaring kira-kira lebih lima juta warga asing, sekirannya mereka diberhentikan sementara di semua sektor.

“Kemampuan makmal ujian sekarang mungkin 30,000 sehari, jika semua diberhentikan (sementara) untuk buat saringan, mungkin mereka terpaksa tunggu keputusan berbulan-bulan.

“Kaedah saringan bersasar, untuk menjalankan ujian, saringan dan apabila positif, kita kesan kontak rapat,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close