Berita Utama

Tun M mahu pecat Muhyiddin

Dakwa Presiden Bersatu banyak buat perkara salah

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita memang nak pecat dia, tapi saya kena tunggu Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT),” katanya seperti dilapor media tempatan.

Dr Mahathir mendakwa, banyak perkara salah dilakukan Muhyiddin sejak kebelakangan ini terutama membabitkan pemberian jawatan kepada ahli UMNO yang menyertai Bersatu.

“Parti sudah buat keputusan bahawa orang UMNO yang masuk Bersatu mesti melalui satu proses. Orang UMNO tidak boleh pegang apa-apa jawatan. Apa yang dibuat oleh Muhyiddin adalah salah,” dakwanya.

Terdahulu, Dr Mahathir bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka daripada Bersatu.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat makluman mengenai perkara itu ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Bagaimananapun kelima-lima mereka menolak keputusan Bersatu untuk menggugurkan keahlian mereka kerana mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang.

Ahli Parlimen terbabit tidak bersetuju sama sekali keahlian masing-masing dalam Bersatu terhenti serta-merta, serta mendakwa ia menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan yang dijamin bawah prinsip kedaulatan undang-undang.

Bersatu berpecah selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Muhyiddin selaku presiden, mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasional (PN).

Di ambang krisis berkenaan, Dr Mahathir turut meletak surat jawatan sebagai pengerusi parti, namun ketika itu ditolak oleh MPT Bersatu.

Bagaimanapun pada 19 Mei lalu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan bahawa peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi Bersatu pada 24 Februari lalu adalah sah.

Sehubungan itu, dalam satu surat bertarikh 5 Mei dikeluarkan agensi itu, ROS menjelaskan bahawa pemangkuan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yasin atas jawatan pengerusi parti itu juga sah sehingga diadakan semula pemilihan pengerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button